Pada
setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam
dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota
itu dan menyebarkan risalah dakwah bertajuk “Jalan-jalan Syurga” dan
beberapa karya Islamik yang lain.
Pada satu Jumaat yang indah,
pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa meghulurkan
risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai
turun.
Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya seraya berkata “Ayah! Saya dah bersedia...
Ayahnya terkejut dan berkata “Bersedia untuk apa?”.
“Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah”
“Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat”
“Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun”
Ayahnya menambah “Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini”
Dengan merintih anaknya merayu “Kalau begitu, benarkan saya pergi ayah?”
Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya.
“Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!”
“Terima
kasih Ayah” Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan
dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.
Anak
kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun
yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan
memberikan risalah itu kepada penghuninya.
Setelah dua jam, hanya
tinggal satu saja risalah “Jalan-jalan Syurga” ada pada tangannya. Dia
berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di
tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang
akan diserahkan risalah terakhirnya itu, namun gagal.
Akhirnya dia
ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula
mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu
di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali.
Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan.
Diketuk
pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang
memegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah
ini diserahkan.
Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Dan akhirnya pintu rumah itu dibuka.
Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an.
Mukanya suram dan sedih.
“Nak, apa yang makcik boleh bantu?”
Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
“Makcik,
maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat
sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya
hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling
bertuah”. Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.
“Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu.” kata makcik itu dalam nada yang penuh lembut.
Minggu berikutnya sebelum khutbah solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan sedikit tazkirah.
Sebelum selesai tazkirahnya dia bertanya “Ada sesiapa nak bertanya atau menyatakan sesuatu.”
Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah perempuan separuh umur itu.
“Saya
rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak
pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan anda,
sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim. Suami saya
meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam
dunia ini”. Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.
“Pada
Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi
saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga
menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan
hujung satu lagi diketatkan di leher.
Apabila tiba saat saya
untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu
sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika
tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar
ketukan dan loceng ditekan sekali lagi”.
“Saya bertanya sekali
lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini setelah sekian
lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu”
“Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat”.
“Makcik,
maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat
sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik” itulah kata-kata yang
paling indah yang saya dengar”.
“Saya melihatnya pergi kembali
menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu dan terus baca risalah itu
setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap
nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka…..Aku tak perlukan
itu lagi”.
“Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu, ALLAH Maha Esa.
Di
belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini
hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu
tentunya roh saya ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka”
Semua para jemaah mengalirkan air mata. Mereka mengucap syukur pada Allah. Ramai juga yang bertakbir, ALLAHUAKBAR!
Imam
lantas meluru menuju ke arah anaknya dan terus memeluk anaknya yang
berada di bahagian saf hadapan dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.
Jumaat
ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah yang
amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang
sekarang berada di dalam pelukannya.
"(Ingatlah) ketika malaikat
berkata: "Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang
menggembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan
kandungkan semata-mata dengan) kalimah daripada Allah, nama anak itu:
Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di Dunia dan di
Akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi
kemuliaan di sisi Allah). Dan ia akan berkata-kata kepada orang ramai
semasa ia masih kecil dalam buaian, dan semasa ia dewasa, dan ia adalah
daripada orang-orang yang soleh." [Aal 'Imraan 3: 45-46]