Featured post

STUDY ABROAD ?

Ramai yang nak tahu macam mana nak  dapat tawaran overseas. Bila banyak sangat persaingan yang ada sekarang, limitasi pengambilan pelajar l...

Tuesday 19 February 2013

KESELAMATAN KANAK-KANAK DI TEMPAT AWAM


Pada era pascamerdeka ini, kes jenayah dan penculikan kanak-kanak semakin menjadi-jadi sehingga menjadi topik hangat dalam media massa. Kejadian kehilangan dan kemalangan kanak-kanak seperti yang dilaporkan baru-baru ini meningkatkan kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan golongan berkenaan ketika di rumah, sekolah, jalan raya dan tempat awam. Contohnya, kes adik Nurul Huda Abdul Ghani yang telah meninggal dunia dalam usia 10 tahun. Budak yang malang itu telah menjadi mangsa rogol dan dibunuh oleh binatang yang bertopengkan manusia. Begitu juga dengan kes adik Sharlinie dan adik Asmawi yang masih belum ditemui. Kes-kes tersebut turut diperkatakan dari warung kopi hingga persidangan parlimen. Kes jenayah kanak-kanak telah menggusarkan ibu bapa yang mempunyai anak yang seusia dengan kanak-kanak tersebut. Untuk mengelakkan lebih banyak kanak-kanak menjadi mangsa kepada manusia yang tidak berkeperimanusiaan, pelbagai langkah yang efisien patut dilaksanakan untuk melindungi kanak-kanak supaya mereka dapat hidup dalam dunia yang aman, harmoni dan bahagia.

Pelbagai kelompok masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberikan pandangan masing-masing mengenai keselamatan kanak-kanak termasuk mencadangkan pendidikan mengenai keselamatan diri di sekolah seperti keselamatan jalan raya yang sudah diajar di sekolah rendah. Selain itu mendidik kanak-kanak mengatakan `tidak’ kepada orang yang tidak dikenali dan dirasakan berpotensi membahayakan mereka. Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat tampil memberikan beberapa panduan mengenai keselamatan kepada kanak-kanak sama ada di rumah, sekolah, jalan raya dan tempat awam. Sesetengah panduan itu mungkin nampak ringan kepada segelintir orang, namun jika dipraktikkan ia dapat membantu mencegah kejadian tidak diingini. Naib Presiden Persatuan Perlindungan Kanak-Kanak Malaysia yang juga Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-undang Universiti Malaya (UM), Dr Farah Nini Dusuki berkata, pendidikan keselamatan diri perlu diajar pada peringkat awal kanak-kanak seperti di taman asuhan dan didikan kanak-kanak serta prasekolah. Katanya, ibu bapa juga perlu mendapatkan ilmu bagaimana mendidik anak masing-masing bagi menjaga keselamatan diri. Beliau berkata, pada masa sama, modul pendidikan keselamatan diri perlu diperkenalkan di peringkat sekolah rendah selain dasar perlindungan kanak-kanak bagi memastikan hak dan keselamatan kanak-kanak terjamin di negara ini. “Dasar ini tidak membenarkan mereka yang ada rekod jenayah termasuk keganasan dan jenayah seksual tidak bekerja dalam sektor membabitkan kanak-kanak seperti pengasuh, guru dan pengawal keselamatan di sekolah atau taman asuhan kanak-kanak,” katanya.

Untuk menangani masalah ini daripada terus menjalar, ibu bapa perlu memainkan peranan yang signifikan untuk menyelamatkan cahaya mata yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada mereka. Dalam konteks ini, ibu bapa harus sentiasa memastikan anak mereka tidak lari daripada perhatian mereka ketika berada di tempat awam, terutamanya di pasar malam, pasar raya dan pusat membeli belah. Berikut merupakan perkara-perkasa asas yang perlu dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga terhadap kanak-kanak di bawah jagaan mereka sebelum dibawa ke tempat awam. Pertama, ibu bapa perlu memaklumkan perancangan dengan tepat destinasi dan tujuan. Sebagai contoh; mula-mula ke pusat membeli belah Giant dengan tujuan utama untuk membeli pakaian seragam sekolah. Seterusnya, ibu bapa atau penjaga digalakkan untuk memakaikan kanak-kanak dengan pakaian yang mudah dikenali sebagai contoh baju yang berwarna terang dengan tambahan topi berwarna terang. Kanak-kanak perempuan mungkin boleh dikenakan penutup kepala atau tudung yang berwarna terang agar mudah dikenali apabila berada di tempat awam. Kanak-kanak pada usia awal atau sebelum persekolahan kerap menghadapi masalah untuk mengingati nombor telefon ibu bapa atau alamat rumah mereka sendiri, sehubungan dengan itu, biasakan kanak-kanak ini membawa kad nama ibu bapa yang lengkap dengan nombor untuk dihubungi untuk sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.
Bukan itu sahaja, ibu bapa mahupun penjaga perlu sentiasa mengingatkan kanak-kanak ini berjumpa terus dengan pihak berkuasa seperti pengawal keselamatan atau pihak polis jika terpisah dari keluarga atau tersesat. Sekiranya tidak berjumpa dengan mana-mana pihak berkuasa, cuba minta bantuan dari jurujual pusat membeli belah tersebut ataupun penjual di gerai jika di pasar malam. Kanak-kanak juga jangan ditakutkan dengan pihak berkuasa polis umpamanya. Kanak-kanak ini kena diberitahu bahawa polis akan menolong kita jika semasa kecemasan atau kemalangan. Jangan panik dan menunjukkan rasa ketakutan dan elakkan cuba meminta pertolongan dari orang yang tidak dikenali. Sementara itu, ibu bapa atau penjaga perlu sentiasa membawa sekurang-kurangnya gambar terbaru kanak-kanak bersaiz pasport, mungkin boleh disimpan di dalam dompet ayah atau beg tangan ibu. Gambar sebegini akan memudahkan dan mempercepatkan pihak berkuasa dan orang awam di tempat kejadian untuk mengecam kanak-kanak tersebut. Tegasnya ibu bapa perlu memikul tanggungjawab untuk menjaga keselamatan anak kecil mereka.

Selain persekitaran rumah dan lokasi percutian, ibu bapa sering mengambil mudah keselamatan kanak-kanak di pusat beli-belah. Ini kerana banyak elemen penting dianggap remeh sehingga menjadi punca kanak-kanak hilang di khalayak awam, cedera akibat tersepit di tangga bergerak atau pintu lif serta terjatuh ketika berlari. Menurut Pengarah Pemasaran Sunway Pyramid, Phang Sau Lian, kanak-kanak berusia lapan tahun ke bawah masih belum matang dan mampu menilai mengenai pentingnya keselamatan di tempat awam. Mereka secara semula jadi tidak akan duduk diam dalam tempoh lama, sebaliknya berlari, memanjat, menjerit dan melompat tanpa sebarang tujuan. Sifat semula jadi kanak-kanak aktif bergerak. Dalam hal ini, ibu bapa atau penjaga seharusnya memberi perhatian ketika berada di lokasi tertentu atau tempat awam yang sering mendedahkan mereka kepada ancaman tanpa diduga.

“Kanak-kanak mempunyai keupayaan luar biasa terutama ketika bermain kerana mereka tidak mengambil kira sebarang ancaman membabitkan diri. Jadi ibu bapa perlu peka mengenai sebarang kemungkinan yang bakal berlaku kepada kanak-kanak terutama di pusat beli-belah,” jelasnya. Antara panduan yang boleh diikuti bagi mengelak perkara tidak diingini sekiranya berkunjung ke pusat beli-belah adalah dengan memberi penekanan mengenai keselamatan ketika menaiki tangga bergerak. Sebaiknya anak-anak tidak bermain di kawasan tangga bergerak bagi mengelak terjatuh atau tersepit. “Sekiranya kanak-kanak boleh menjaga diri sendiri, penggunaan tangga bergerak mungkin sesuai dengan mereka tetapi tidak bagi si kecil yang masih berada di dalam kereta sorong. Ini kerana kereta sorong perlu digerakkan dan pada masa sama, bayi di dalamnya mungkin boleh terjatuh. Perkara begini sering dianggap tidak berbahaya, namun kami menyarankan ibu bapa menggunakan lif kerana lebih selamat dan mudah,” ujarnya yang meminta ibu bapa memegang tangan anak ketika menaiki tangga bergerak.

Dalam kesibukan ibu bapa membeli-belah, ada sesetengah yang tidak sedar anak-anak terlepas daripada pandangan mata. Bagi mengelak perkara buruk berlaku, penjaga boleh memakaikan anak dengan abah-abah atau gelang khas bagi mengesan si kecil sekiranya terlepas daripada pegangan. “Ketika di rumah ibu bapa boleh menyediakan gelang khas di tangan anak dengan menulis nombor telefon atau sebarang nombor lain yang boleh dihubungi. Apabila anak terlepas daripada pegangan dan jika ditemui orang awam, mereka boleh menghubungi nombor berkenaan. Selain itu, ajar mereka supaya tidak mengikut orang yang tidak dikenali walaupun diberikan manisan atau permainan sebagai umpan,” katanya ketika ditemui pada program Bengkel Keselamatan Kanak-Kanak Kelab Leo di Sunway Pyramid, baru-baru ini.  Selain itu, ramai ibu bapa tidak tahu alat pemerhatian jarak jauh disyorkan bagi membantu mereka mengawasi anak sekiranya si kecil berjalan agak jauh atau terlindung daripada pandangan ibu bapa. Menurut Phang, Sunway Pyramid ada menyediakan alat berkenaan dan ibu bapa boleh membelinya daripada pihak pentadbiran. “Bayangkan ketika leka membeli-belah, kebanyakan ibu terlupa mengenai anak-anak mereka. Alat pemerhatian jarak jauh ini boleh mengesan sehingga jarak tertentu di kawasan pusat beli-belah dan jika anak hilang daripada pandangan, ibu bapa yang menggunakan alat ini akan menerima isyarat atau mereka juga boleh menghubungi pihak keselamatan pusat beli-belah. Alat itu akan mengeluarkan bunyi atau getaran sekiranya anak berada pada jarak tertentu,” jelasnya. Selain itu, bagi mengelak kemalangan ketika menggunakan lif, ibu bapa seharusnya memberi peringatan supaya anak-anak berkelakuan baik ketika masuk dan keluar dari lif. “Pastikan ketika pintu terbuka atau tertutup, si kecil tidak menghulurkan tangan atau kaki mereka. Sekiranya berlaku kebakaran pula, elak menggunakan lif,” katanya.

Selain itu, media massa perlu mendukung kewajipan untuk mencelikkan masyarakat kita supaya peka terhadap isu ini. Media massa terutamanya media elektronik mempunyai pengaruh yang kuat sekali terhadap masyarakat kita. Dalam situasi ini, pihak televisyen dan akhbar perlu menyiarkan rencana atau rancangan yang berkaitan supaya masyarakat kita, khasnya pengusaha tabika dan ibu bapa mengambil tindakan yang drastik untuk mengelakkan anak buah mereka daripada menjadi mangsa kepada manusia yang berjiwa binatang buas. Siaran daripada media massa dapat segera memancing perhatian dan kerjasama daripada masyarakat untuk menghulurkan bantuan bersama-sama demi menyelamatkan budak yang hilang atau kena culik. Dalam masa yang sama, media elektronik patut menyekat rancangan ganas yang dapat mempengaruhi orang ramai. Bahan lucah yang berkaitan dengan seksual kanak-kanak harus dilarang sama sekali sama ada dalam cakera padat digital cetak rompak ataupun dalam internet. Adegan keganasan ini mudah ditiru oleh bukan sahaja kanak-kanak malah orang dewasa juga. Senarionya, unsur keganasan akan diterjemahkan terhadap kanak-kanak yang tidak berdosa. Natijahnya, media massa perlu memainkan peranan dengan menghalang dan menyekat mahupun menapis rancangan yang berunsur ganas dan berusaha menginsafkan masyarakat kita untuk menyelamatkan kanak-kanak kita daripada menjadi mangsa keganasan manusia yang bertopengkan binatang.

Sementelahan itu, penguatkuasaan undang-undang merupakan alternatif yang ampuh untuk membanteras gejala tersebut. Hal ini demikian kerana hukuman yang ketat berupaya memperingatkan orang ramai supaya tidak menganiaya kanak-kanak di negara kita. Mereka yang mencabuli, memperkosa, menculik dan mendera kanak-kanak perlu dijatuhi hukuman yang berat, seperti hukuman penjara mandatori, hukuman sebat, hukuman gantung sampai hati. Hukuman yang maksimum sedemikian akan menyebabkan mereka yang menganiayai kanak-kanak berasa serik dan takut untuk melakukan kesalahan tersebut. Sehubungan dengan itu, pihak polis juga perlu membuat siasat dengan cepat dan segera. Sindiket perdagangan manusia harus dibendung dengan segera. Alangkah malangnya, terdapat kanak-kanak yang diculik ke negeri Thailand dan Indonesia telah dicacatkan untuk menjadi pengemis . Oleh itu, pihak penguatkuasa perlu melaksanakan tugas mereka dengan komitmen supaya nyawa anak yang bernilai itu tidak diragut oleh manusia yang tidak waras akal fikirannya. Natijahnya, anak merupakan kurniaan Tuhan yang akan membawa kebahagiaan dan hiburan kepada keluarga. Anak juga akan mewarnai masyarakat, nusa dan bangsa kita . Seisi masyarakat kita bertanggungjawab untuk melindungi mereka supaya membesar dengan aman dan sentosa. Kes jenayah kanak-kanak dan gangguan seksual menjadi fobia kepada ibu bapa untuk menjaga keselamatan anak mereka. Ingatlah pepatah ini, “jangan terhantuk baru tengadah” dan janganlah sampai “nasi menjadi bubur” baru kita sebagai masyarakat ingin membantu dalam melindungi kanak-kanak. Semua pihak yang terlibat tidak patut melepaskan batuk di atas tangga dan berusaha dengan gigih bagi melindungi hak kanak-kanak di negara ini.
Langkah seterusnya dalam melindungi kanak-kanak di tempat awam ialah dengan menggunakan “harness”. Penggunaan “harness” juga mampu mencegah berlakunya bahaya kepada kanak-kanak di tempat awam. Harness ini sebenarnya alat keselamatan khas untuk kanak-kanak apabila ibu bapa atau penjaga bersiar-siar di tempat awam. Harness ini sangat sesuai untuk kanak-kanak yang suka berlari sana sini apabila berada di tempat awam. Alat kesematan ini sangat membantu untuk ibu bapa untuk sentiasa bersama dengan anak. Malahan, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor pernah menyebut tentang harness ini. Beliau mengalakkan ibubapa mengunakannya apabila keluar agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini. Namun penggunaan harness di Malaysia sangat kurang jika dibandingkan dengan masyarakat di luar negara, mereka sudah menggunakan alat ini dengan lebih luas. Hal ini kerana mereka sudah mempunyai kesedaran dalam aspek keselamatan anak-anak masing-masing.

Kesimpulannya, semua pihak perlu mengambil inisiatif sendiri bagi mengelakkan berlakunya kes-kes berkaitan kanak-kanak di tempat awam. Walaupun, masyarakat Malaysia belum lagi bersedia untuk menggunakan tali pengikat tangan seperti yang banyak diamalkan di luar negara. Kaedah tradisional iaitu tangan kanak-kanak ini mesti dipastikan digenggam walaupun mereka sendiri yang membantah terutama di kawasan sesak dengan orang ramai. Kanak-kanak juga boleh diajar membawa wisel sebagai peralatan tambahan keselamatan. Bagaimanapun mereka ini perlu diajar dan diingatkan agar menggunakan wisel hanya semasa kecemasan dan ketika dikuatiri diancam. Kebanyakan kes kehilangan anak adalah berada di lokasi yang penuh dengan orang ramai, terutama ketika jualan murah diadakan kerana ibu bapa sibuk membeli belah. Ibu bapa atau pendidik perlu mengajar anak mereka serba sedikit pendidikan seks, iaitu bahagian aurat badan mereka yang tidak boleh disentuh oleh orang lain. Ibu bapa perlu membimbing anak mereka supaya menolak ajakan atau pujukan orang yang tidak dikenali walaupun terdapat gula-gula yang enak. Dalam masa yang sama, ibu bapa bertanggungjawab untuk memastikan anak mereka tidak berseorangan sama ada di rumah atau di luar rumah. Contohnya adik Nurin Jazlin membeli sesuatu di pasar malam sehingga tidak pulang untuk selama-lamanya. Sementara itu, menurut keratin akhbar Metro, pengacara Wardina Safiyyah, 31, pula menyatakan golongan ibu bapa perlu sentiasa menimba ilmu tentang aspek-aspek keselamatan kanak-kanak melalui pembacaan buku ataupun majalah yang sesuai. Melalui pembacaan, ibu bapa dapat mendidik anak-anak tentang keselamatan diri dengan cara yang kreatif. Itu sekali gus merangsang perkembangan minda dan tumbesaran mereka.

 "Jikalau ibu bapa terlalu obses akan keselamatan mereka sehingga membantutkan pergerakan cergas kanak-kanak, sediakan ruang rumah yang lebih selesa untuk bergerak," kata Wardina. Jelasnya, adalah lebih baik para ibu bapa menghadiri kursus membantu kanak-kanak dalam kecemasan di hospital yang berdekatan. "Kursus seumpama ini banyak membantu mereka memberi pertolongan kecemasan sebelum mangsa dikejarkan ke hospital. Kadang kala apabila anak tercedera, ibu bapa panik sehingga gagal memberi pertolongan kecemasan," terangnya . Tambahnya, kanak-kanak yang lebih kecil patut diawasi ketika mereka berada di kawasan luar rumah, baik di halaman sendiri ataupun di tempat awam.

Tegasnya semua pihak harus berganding bahu dalam menjaga kanak-kanak dan melindungi mereka di tempat awam. Masyarakat haruslah prihatin akan masalah yang menimpa kanak-kanak di Malaysia. Setiap hari kita mendengar berita tentang kanak-kanak di akhbar tempatan dimana mereka dibuli, didera dan dirogol. Peristiwa-peristiwa ini berlaku di tempat awam dimana masyarakat dapat melihat sendiri. Masyarakat perlu sentiasa peka akan apa yang berlaku disekeliling mereka. Jika ada sesuatu yang disyaki, sepatutnya bergegas melihat dan menghalang daripada hanya mampu melihat dari jauh. Janganlah kita berdiam diri hanya untuk kepentingan diri sendiri. Ingatlah bahawa nyawa seorang kanak-kanak itu sangat berharga untuk menjamin masa depan negara kita kelak.

 cara untuk melindungi kanak-kanak di tempat awam
 Contoh alat perlindungan kanak-kanak di tempat awam (Harness)












Jenis-jenis penderaan kanak-kanak tahun 2001-2007

Jenis-jenis penderaan kanak-kanak tahun 1999-2008


8 comments: